Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Diperlihatkan
padaku berbagai ummat, maka saya melihat ada seorang Nabi dan besertanya adalah
sekelompok manusia kecil - antara tiga orang sampai sepuluh, ada pula Nabi dan
besertanya adalah seorang lelaki atau dua orang saja, bahkan ada pula seorang
Nabi yang tidak disertai seseorang pun. Tiba-tiba diperlihatkanlah padaku suatu
gerombolan manusia yang besar, lalu saya mengira bahawa mereka itulah ummatku.
Lalu dikatakanlah padaku: "Ini adalah Musa dengan kaumnya. Tetapi lihatlah ke
ufuk - sesuatu sudut." Kemudian saya pun melihatnya, lalu saya lihatlah dan
tiba-tiba nampaklah di situ suatu gerombolan ummat yang besar juga. Selanjutnya
dikatakan pula kepadaku: "Kini lihatlah pula ke ufuk yang lain lagi itu."
Tiba-tiba di situ terdapatlah suatu kelompok yang besar pula, lalu dikatakanlah
padaku: "Inilah ummatmu dan beserta mereka itu ada sejumlah tujuh puluh ribu
orang yang dapat memasuki syurga tanpa dihisab dan tidak terkena
siksa."
Kemudian Rasulullah
s.a.w. bangun dan terus memasuki rumahnya. Orang-orang banyak sama
bercakap-cakap mengenai para manusia yang memasuki syurga tanpa dihisab dan
tanpa disiksa itu. Sebahagian dari sahabat itu ada yang berkata: "Barangkali
mereka itu ialah orang-orang yang telah menjadi sahabat Rasulullah s.a.w."
Sebahagian lagi berkata: "Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang
dilahirkan di zaman sudah munculnya agama Islam, kemudian tidak pernah
mempersekutukan sesuatu dengan Allah." Banyak lagi sebutan -
percakapan-percakapan - mengenai itu yang mereka kemukakan.
Rasulullah s.a.w.
lalu keluar menemui mereka kemudian bertanya: "Apakah yang sedang engkau semua
percakapkan itu." Para sahabat memberitahukan hal itu kepada beliau. Selanjutnya
beliau s.a.w. bersabda:
"Orang-orang yang
memasuki syurga tanpa hisab dan siksa itu ialah mereka yang tidak pernah memberi
mentera-mentera tidak meminta mentera-mentera dari orang lain - kerana sangatnya
bertawakkal kepada Allah, tidak pula merasa akan memperolehi bahaya kerana
adanya burung-burung - atau adanya hal yang lain-lain atau ringkasnya meyakini
guhon tuhon atau khurafat yang sesat - dan pula sama bertawakkal kepada
Tuhannya."
'Ukkasyah bin Mihshan
al-Asadi, kemudian berkata: "Doakanlah saya - ya Rasulullah - kepada Allah
supaya Allah menjadikan saya termasuk golongan mereka itu - tanpa hisab dan
siksa dapat memasuki syurga." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Engkau termasuk
golongan mereka." Selanjutnya ada pula orang lain yang berdiri lalu berkata:
"Doakanlah saya kepada Allah supaya saya oleh Allah dijadikan termasuk golongan
mereka itu pula." Kemudian beliau bersabda: "Permohonan seperti itu telah
didahului oleh 'Ukkasyah." (Muttafaq 'alaih)
(sumber: Riyadhus Shalihin)
Post a Comment